Syair Makna Riak


Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia,
Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Terkadang riak pula dilakukan,

Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Supaya disangka ianya wali,

Akan dunia tidak dipeduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Terkadang riakkan ia berilmu,

Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis disapu.

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.





Maksud:
Rangkap 1 - Riak merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk sifat baik kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2 - Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa. Apabila bercakap, suara diperlahankan dan membiarkan fizikal diri tidak terurus.


Rangkap 3 - Perkara sebegitu dilakukan agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli akan hal-hal keduniaan. Hemah yang ditunjukkan sangat tinggi tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura dan mengharapkan habuan keduniaan.


Rangkap 4 - Kadang-kadang riak ditunjukkan dengan menonjolkan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan menunjuk-nunjukkan kepandaian ilmunya dalam majlis keraian yang dihadiri oleh ramai orang. Banyak perkara yang diperkatakannya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu betul atau salah.


Rangkap 5 - Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea atau fikirannya logik. Dia berlagak seperti orang yang telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.


Rangkap 6 - Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta tangannya membilang tasbih.


Rangkap 7 - Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah mahu diiktiraf sebagai ketua.


Rangkap 8 - Riak boleh mendatangkan bala dan kecelakaan. Amalan kita akan ditolak malah mendatangkan dosa. Allah tidak suka kepada orang yang bersifat riak.



Nilai:

Kejujuran
Contoh: Sifat jujur amat penting dalam setiap perbuatan agar tidak dimurkai oleh Tuhan.

Kebersihan fizikal

Contoh: Mementingkan aspek kebersihan diri walaupun sibuk beramal ibadat.

Kerajinan

Contoh: Rajin dalam menyampaikan ceramah atau berucap di majlis keraian.

Kesederhanaan

Contoh: Bersikap sederhana terutama dalam hal-hal yang berkaitan keduniaan.

Bertanggungjawab

Contoh: Bertanggungjawab menyampaikan dakwah secara telus tanpa ada niat yang bertentangan.


Pengajaran:

Kita hendaklah bersikap jujur dalam melakukan sebarang perkara atau tugas.
Kita mestilah mengutamakan kebersihan diri kerana kebersihan sebahagian daripada iman.
Kita hendaklah merendah diri dalam setiap amalan kerana sikap sebegini merupakan sifat terpuji.
Kita haruslah bersama-sama memikul tanggungjawab menerokai ilmu agama untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.


Rujukan:
http://puisitradisional.blogspot.com/2015/07/syair-makna-riak.html
https://www.slideshare.net/nurul9707/syair-makna-riak-presentation1-7546129


~ Puisi Melayu Tradisional Chang Kian Yi 0335471

Comments

Popular posts from this blog

Syair Mati

Puisi Melayu Tradisional

Seloka Emak Si Randang