Gurindam Mengidam Kuasa
Februari 21, 2009
Kalau benar mengidam kuasa,
Hendaklah wajar tingkah dan cara.
Kalau kuasa hendak digenggam,
Kebaikan orang jangan dihentam.
Kalau kuasa hati berkenan,
Jasa orang dinafi jangan.
Kalau kuasa hendak diraih,
Amalkan budaya berterima kasih.
Impian berkuasa lekat di hati,
Hapuskan segala hasad dan dengki.
Kalau kuasa pilihan yang syumul,
Ikutlah cara yang paling betul.
Kalau kuasa mahu diburu,
Hindari prasangka jauhi cemburu.
Kalau kuasa impian utama,
Belajarlah sentiasa hidup bersama.
Kalau kuasa ingin dirampas,
Jangan berasa hendak menindas.
Kalau kuasa mahu diperjuang,
Baiklah sentiasa menolong orang.
Kalau kuasa dimahukan sungguh,
Buangkan sombong lemparkan ego.
Kehebatan kuasa ingin dilakar,
Aib orang jangan diselongkar.
Keinginan berkuasa sekiranya hadir,
Jangan suka mempersenda menyindir.
Kalau kuasa menjadi keutamaan,
Tingkatkan takwa kukuhkan iman.
Kalau kuasa diimpi dicita,
Jauhi matlamat menghalalkan cara.Pengarang: Mohd Kasim Mahmus, PPJ Kota Tinggi Maksud: Amalan dan perkara yang perlu diterapkan dalam diri seseorang yang ingin mempunyai dan memperoleh kuasa dalam sesuatu hal, terutama seorang pemimpin negara. Amalan-amalan yang baik dapat membuatkan seseorang itu dilihat sebagai seorang pemimpin yang baik, maka mudahlah untuk beliau disanjungi dengan rela hati. Nilai:
Mengenang jasa,
Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan betul dan mempunyai alasan yang munasabah, agar dilihat sebagai seseorang yang berfikir panjang dalam melakukan sesuatu hal. Janganlah memperlekehkan kebaikan orang lain untuk menonjolkan kebaikan diri sendiri, kerana itu akan menampakkan keburukan diri kita. Janganlah melupakan jasa baik seseorang terhadap seseorang atau sesuatu, dan hendaklah sentiasa mengenang jasa seseorang itu. Janganlah mempunyai sifat hasad dengki kerana itu menunjukkan hati kita yang kotor. Janganlah melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan kebenaran. Kita hendaklah menjauhkan diri dari sifat cemburu agar hidup sentiasa dalam keadaan cukup dan bersyukur. Janganlah bersikap terlalu bersaing sehingga ingin menindas orang lain dalam cara yang tidak elok. Hidup ini janganlah terlalu sombong dan ego agar sentiasa disegani ramai. Janganlah membuka aib orang lain kerana itu adalah perbuatan yang berdosa, dan juga agar aib diri sendiri tidak dibuka. Janganlah suka mempersenda dan menyindir orang lain, kerana ia akan melukakan hati orang lain.
https://penyair.wordpress.com/2008/02/21/gurindam-mengidam-kuasa/
~ Puisi Melayu Tradisional Nur Afrina Syazwani Binti Annuar 0339216
Comments
Post a Comment